Mei 12, 2009

b a n k

wa nak cite pasal bank niari..
sape yang rajen baca boleh baca..
wa memang suka membaca..
hahaha..
ni wa cilok dari hisyamudin rais..
so kita bincang la apa yang dia carut k..
wa memang suka apa yang mamat ni sembang..




Semua yang wujud dalam alam ini bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil daripada Letupan Besar.

Seperti besi berani yang akan terus menghala medannya ke utara, begitu juga hukum hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akal akan mencari dan menemui hukum-hukum ini.


Penemuan hukum-hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum-hakam ini berkecuali, tidak memiliki nilai.

Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia.

Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah.


Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom.


Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini. Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit.

Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih. Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama.

Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank.
Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum.

Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang - emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak
Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas. Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang.

Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak.
Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah. Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai.

Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan.
Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan. Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum.

Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas.
Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah. Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi.

Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah.
Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas.

Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.
Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai - inilah asal-usul duit kertas atau bank note. Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing.

Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan.
Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal.

Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rashia - konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan.
Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas.

Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan.
Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai.

Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi.
Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank.

Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice.
Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu.

Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan.
Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun.

Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu.


Contoh:
Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang. Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit.

Lihat silap mata!
Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit. Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan - ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.

Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga.
Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank.

Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini.
Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus.



Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan.


Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap!
Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008.

Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka - permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank.
Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka.

Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap - inilah yang sedang berlaku sekarang.
Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Pemilik-pemilik bank ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan.

Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus.


Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka.
Pada 2009, banyak bank telah muflis.

Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini? Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung.
Keuntungan ini disimpan.

Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup.
Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai kiamat tidak akan bankrup - ini juga hukum sistem kapitalis.



peeslashass amacam lu paham x benda ni..

Tiada ulasan: