Mac 17, 2008

sEni PoLitIK

PUISI, syair dan gurindam sejak dari dulu memang dekat di hati masyarakat walau di mana juga tanpa mengira batas kaum mahupun sempadan negara.

Karya-karya seni itu menjadi saluran dan nadi kepada para karyawan dalam usaha untuk menyuarakan isi hati mereka kepada umum.

Malah, golongan ini juga sanggup memerah minda bagi menjadikan karya-karya nukilan mereka sebagai sebahagian daripada luahan yang mewakili isi hati masyarakat.




Pelbagai tema yang dititip daripada rencah-rencah kehidupan semasa telah diangkat menerusi bait-bait kata yang penuh puitis tetapi sarat dengan mesej yang tersirat.

Pendekatan itulah yang telah diserapkan pada program bulanan Baca Puisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedinginan malam ketika hujan renyai-renyai pada malam itu seakan-akan dihangatkan dengan deklamasi puisi kalangan ahli Pena yang begitu peka dengan perkembangan semasa.

Pelbagai jenis puisi dan gurindam telah dipersembahkan, tetapi yang menjadi topik popular pada program itu ialah tentang kesan kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac lalu.




Program yang diacarakan oleh Dr. Ibrahim Ghaffar pada malam itu menampilkan ramai penyair daripada kalangan orang lama dan generasi baru.

Menariknya program itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi para penyair dengan gaya pendeklamasian mereka yang tersendiri.

Dr. Ibrahim sendiri yang membacakan puisinya yang berjudul Gurindam Selangor begitu menyentuh dengan mesejnya ekoran kejatuhan Barisan Nasional di Selangor.

Sebagai anak kelahiran Sabak Bernam, beliau cuba mengutarakan rintihan hatinya kesan daripada kemeruduman politik di negeri tersebut.

Sesuatu yang menarik pada malam itu apabila penyair dari Medan, Indonesia, Rahim Kahar ketika beliau tampil mendeklamasikan puisinya yang berjudul Ku Gali Terus Sumur Gurindam.

Meskipun tiada unsur politik dalam puisi itu tetapi gaya olahan dan penyampaiannya yang menggunakan pendekatan lagu-lagu gurindam dalam puisinya itu telah menarik perhatian para hadirin.

Alunan gaya nyanyian gurindam yang diadaptasikannya ketika mendeklamasi puisi itu menjadikan karya asal tulisan Rahim Kahar itu telah menjadi siulan ramai hadirin pada malam itu.




Topik yang berkisar bahang pilihan raya terus menjadi pilihan para pemuisi, antaranya menerusi kemunculan Khalid Salleh yang mendeklamasikan puisinya yang berjudul Menonton Wayang.

Khalid menggunakan pendekatannya menggunakan subjek panggung wayang sebagai metaforanya untuk menggambarkan tentang lakonan ahli-ahli politik yang korup.

Luahan isi hati kalangan penyair pada malam itu tentang ‘cakap-cakap pilihan raya’ diteruskan melalui puisi Razali Endun yang berjudul Apa Yang Kita Cari?

Selain merungkai persoalan tentang hala tuju perjuangan politik dan survival orang Melayu menerusi puisi itu, beliau turut mempromosikan buku terbaru tulisannya berjudul 50 tahun Politik Orang Melayu yang baru berada di pasaran.




Ruang lingkup puisi diperluaskan penghayatannya pada malam itu melalui persembahan kumpulan Radio Usang yang dianggotai oleh para pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Asawara).

Alunan lagu-lagu puisi yang disampaikan Radio Usang berjudul Pean Buat Teman yang pernah dipopularkan oleh Ebiet G. Ade, Mustika dan Tanya Sama Itu Hud-Hud (M. Nasir) berjaya mevariasikan lagi acara pada malam itu.




Malah, kepelbagaian acara Baca Puisi Pena turut terserlah menerusi persembahan kanak-kanak daripada kumpulan Bingkas Kebayan.

Kumpulan kanak-kanak itu berjaya menggamit perasaan dan penghayatan para hadirin melalui pembacaan puisi berjudul Karipap Merdeka.

Puisi karya Rahimi Harun itu berjaya mencetuskan muhasabah apabila ia disampaikan dengan begitu penuh pengharapan daripada kumpulan kanak-kanak tersebut.

Kesesuaian penyampaian puisi itu terserlah kerana jati diri dan identiti yang dipupuk sedari usia kanak-kanak begitu bertepatan dengan golongan ini dalam mewarisi budaya dan tamadun bangsa pada masa depan.




Kumpulan Sri Samudra yang dibawakan oleh penyair terkemuka Sutung Umur menyanyikan seleksi lagu-lagu dikir barat yang diadaptasi daripada pelbagai genre lagu termasuklah rentak Hindustan.

Para penyair lain yang turut mendeklamasi puisi ialah Prof. Datuk Dr. Mansor Abdullah menerusi puisinya berjudul Dong, Dong, Dong, Ismas Saring (Pesanan), Mohamad Daud Mohamad (Gelombang), Prof. Irwan Abu Bakar (Panggilan Untuk Seorang Kawan Yang Menang Pilihan Raya), Prof. Rahman Shaari (Sengsara) dan Shukri Abdullah (Pilihan Raya).

Tiada ulasan: