Mac 13, 2008

sAsTeraWan

Apabila Sasterawan Negara dipinggirkan...
Amin Iskandar | Jan 22, 08 7:43am

12 Januari lalu Berita Harian melaporkan bahawa tiada karya Sasterawan Negara (SN) tersenarai sebagai buku teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada tahun 2010.

Selain daripada itu Pusat Perkembangan Kukurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran turut tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta, baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Menurut Laporan Berita Harian tersebut, alasan yang diberikan oleh PPK, Kementerian Pelajaran ialah karya-karya SN terlalu berat dan sarat dengan pemikiran, oleh kerana itu ianya sangat sukar difahami oleh pelajar. Jesteru, PPK memilih penulis popular dan teks yang mendapat sambutan bagi menarik minat pelajar dalam Komsas.

Penulis-penulis popular yang akan diangkat karya mereka untuk menjadi teks sastera oleh PPK ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid a.k.a Zaid Akhtar. Daripada tiga penulis ini, hanya karya Zaid Akhtar yang pernah memenangi hadiah sastera.

PPK juga turut tidak melantik sarjana sastera dan pengarang sebagai sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya melantik guru pakar bahasa Melayu dan guru pakar sastera untuk mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.

Tindakan PPK ini telah mengundang bantahan daripada beberapa pihak termasuk beberapa orang SN. Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman mempersoalkan alasan yang diberikan oleh PPK bahawa sebab utama adalah karya-karya SN terlalu berat.

Mantan Sasterawan Negara

Katanya: “Soal berat atau tidak, tidak harus timbul kerana ia bergantung kepada pendekatan pengajaran oleh guru yang seharusnya kreatif. Mata pelajaran lain yang kelihatan sukar seperti sains dan matematik juga dipelajari. Kementerian perlu beri pertimbangan agar Komsas mengambil hasil sastera bermutu sebagai teks."

Prof Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan yang juga merupakan seorang SN mengatakan bahawa Jawatankuasa Pemilih Buku Teks perlu pandai menilai dan tahu hasil sastera yang boleh membangunkan minda pelajar. Beliau turut kecewa karya-karya SN yang telah mendapat anugerah tertinggi sastera Negara tidak disenaraikan sebagai buku teks.

Tindakan PPK meminggirkan karya-karya SN turut melukakan hati A Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad. Dalam satu program Acara Baca Puisi anjuran Galeri R.A pada 20 Januari yang lalu, Pak Samad menyatakan bahawa “saya sekarang mantan Sasterawan Negara” ketika memberi komen tentang tindakan PPK tidak menyenaraikan karya-karya SN tetapi mengangkat karya-karya penulis popular.

Seluruh hadirin tergamam dengan kenyataan Pak Samad. Kesedihan jelas terlihat di mata SN yang terkenal dengan karya-karya seperti Salina, Langit Petang, Sungai Mengalir Lesu, Hujan Pagi, Adik Datang, Cinta Fansuri dan banyak lagi. Pak Samad yang sering mendekatkan diri dengan anak-anak muda ini tidak mahu lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara. Baginya gelaran tersebut sudah tidak lagi bernilai.

Tindakan PPK tidak menyenaraikan karya-karya SN sebagai buku teks bermula 2010 dan menyenaraikan karya-karya penulis popular seperti Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Zaid Akhtar sebagai buku teks adalah penghinaan tertinggi yang pernah diberi kepada SN. Maka sebab itulah Pak Samad merasa malu untuk menggunakan lagi gelaran SN.

Apakah yang boleh dipelajari oleh pelajar Malaysia pada masa akan datang bermula 2010 daripada karya-karya seperti “Budak Rap”, “Lagenda Budak Setan” dan “Untuk Tiga Hari” tulisan Ahadiat Akashah? Karya-karya ini langsung tidak mengandungi nilai kesusasteraan Melayu. Ia juga hanyalah berkisar kepada kisah-kisah cinta remaja semasa dan kosong dengan pemikiran.

Berbeza dengan karya-karya SN yang sarat dengan pemikiran, mempunyai nilai-nilai kesusasteraan yang tinggi dan berkisar tentang zaman masing-masing. Karya-karya Shahnon Ahmad banyak berkisar mengenai kemiskinan di kampung-kampung manakala karya-karya A. Samad Said banyak menceritakan tentang kehidupan di zaman peperangan dan Usman Awang pula banyak menghasilkan karya-karya yang bersangkut paut dengan peristiwa besar yang melanda negara.

Unsur rasuah?

Tindakan terancang PPK ini, tidak mustahil jika dibiarkan, pada masa akan datang, majalah-majalah hiburan seperti Mangga, Media Hiburan dan URTV juga akan dijadikan sebagai buku teks sekolah dengan menggunakan alasan ianya mampu menarik minat pelajar. Tindakan PPK ini bercanggah Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu.

Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan untuk menjana minda, rohani dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan memupuk sikap berdaya saing kearah pembinaan insan bestari.

Apakah terdapat unsur rasuah dalam isu ini? Siapakah yang akan mendapat kontrak untuk mencetak buku-buku tulisan penulis popular yang akan dijadikan buku teks nanti? Bayangkan jika 500,000 buku yang akan dicetak, berapa banyakkah keuntungan yang akan diperolehi?

Ia harus ditolak oleh semua pihak. Jika alasan karya-karya SN terlalu berat, mengapa tidak diharamkan sahaja matapelajaran Sains dan Matematik? Bukankah pelajar-pelajar sering merungut bahawa matapelajaran Sains dan Matematik susah dan berat?

Jikalau mempelajari kesusasteraan Inggeris kita wajib belajar karya-karya Shakespeare, pada masa akan datang pelajar-pelajar kesusasteraan Melayu hanya akan kenal penulis-penulis novel remaja dan tidak lagi Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, S Othman Kelantan dan ramai lagi SN.

Jika langkah PPK Kementerian Pelajaran ini tidak dihentikan, tidak mustahil satu hari nanti rakyat Malaysia akan menangisi kepupusan Kesusasteraan Melayu. Sastera Melayu akan pupus seperti pupusnya “Dinosaur” di muka bumi.

Tiada ulasan: