BUKAN sesuatu yang mudah untuk melakukan sesuatu yang mampu menggeletek hati orang. Lelucon yang dibuat adakalanya hanya menyakitkan hati orang yang melihat terutama jika melakukan lawak yang melibatkan peribadi orang lain.
Lawak slapstik juga semakin berkurangan penggemar selaras dengan keterbukaan minda golongan dewasa hari ini. Tetapi lawak yang melibatkan isu-isu serius lagi besar yang disampaikan secara kritis andai tersilap langkah boleh memakan diri sendiri.
Lawak kepada sesetengah orang mungkin sekadar berhibur namun bagi sesetengah yang lain mereka inginkan hiburan yang mempunyai pengisian.
Jadi apa yang boleh membuatkan orang ketawa tidak kering gusi? Apakah satu lawak adalah tentang isu yang disampaikan sahaja? Atau adakah cara dan gaya seseorang pelawak itu mampu memberikan satu lonjakan kepada lelucon yang dibawanya?
Pelawak sebenarnya satu gelaran yang sukar dipikul kepada mereka yang mementingkan profesionalisme dalam mengetengahkan jenaka dan komedinya. Tetapi ramai menganggap sekiranya seseorang itu mampu membuatkan orang ketawa dengan jenakanya, individu itu adalah seorang pelawak.
Rowan Atkinson misalnya, adalah antara individu yang berjaya memberikan ketawa kepada khalayaknya sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa ketika menjadi Mr. Bean.
Gaya komedi Atkinson, seorang lulusan Universiti Newcastle dan Oxford dalam bidang kejuruteraan elektrik sentiasa terancang dan disediakan terlebih dahulu.
Sehinggakan kerjayanya sebagai pelawak dan penulis membolehkan Atkinson dibayar 11 juta pound dan membeli kereta McLaren F1. Kekayaan keseluruhannya sahaja dianggarkan sekitar 60 juta pound.
Pelakon tempatan seperti Radhi Khalid juga boleh berlawak dengan baik sekali. Malah nama-nama seperti Harith Iskander misalnya menjadi antara nama yang selalu dikaitkan punya humor ‘berisi’ kala beraksi di pentas.
Jangan tidak tahu, aktres Ida Nerina sendiri hebat mempersembahkan stand-up comedy dengan lawak spontannya. Begitu juga Afdlin Shauki. *Kumpulan Senario yang dianggotai oleh Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet pula menjadi antara kumpulan lawak yang terus menjadi bualan. Sehingga kini, jenama Senario masih kukuh dan mampu memberikan ketawa kepada khalayaknya.
Lawak atau perlekeh orang?
Lawak adalah antara salah satu cabang seni kerana ia melibatkan kerja-kerja dramatik tetapi selalunya ringan dan kerap kali mengandungi satu resolusi yang menyenangkan bergantung kepada sesuatu konflik atau persoalan. Perlu ada tema atau kaedah.
Pun begitu ramai yang tidak tahu membezakan antara lawak bergurau dan mempersenda kerana antara antara kedua-dua itu mempunyai garisan yang cukup nipis, seperti kata Zaibo, seorang pelakon komedi yang juga merupakan pengkritik program Raja Lawak musim kedua.
Jadi tentu sahaja lawak yang melibatkan fizikal atau peribadi seseorang misalnya kini semakin dianggap murahan.
Lawak slapstik pula bagi sesetengah orang bukan saja membosankan malah menunjukkan ketandusan idea daripada pelawak. Malah bergaya ala badut atau beraksi secara keterlaluan untuk memancing perhatian penonton bukan lagi penanda pilihan untuk bergelar pelawak yang baik.
Sebenarnya itu juga menjadi sebahagian gaya persembahan kebanyakan peserta Raja Lawak musim kedua yang seringkali ditegur oleh pengkritik tetap, Enot dan Harun Salim Bachik selain Zaibo.
Bagaimanapun kemunculan Nabil pada program Raja Lawak musim ini memberi satu persepsi baru dalam dunia lawak tempatan yang digalas oleh generasi muda.
Pengkritik
Walaupun banyak komen-komen yang diberikan oleh pengkritik terhadap tahap persembahan para peserta tetapi Nabil membuktikan dia mempunyai karisma dan kredibiliti.
Lebih penting, anak jati Negeri Sembilan berusia 25 tahun itu kerap kali hadir dengan idea segar dalam mempersembahkan lawak jenakanya.
Tidak hairan jika dia sentiasa menduduki carta undian teratas pada saban minggu malah kedudukan peratusannya jauh meninggalkan teman finalis pada gelanggang akhir Raja Lawak malam Jumaat lalu dengan markah undian sebanyak 77 peratus untuk diangkat sebagai juara musim ini.
Kejuaraan itu membolehkan Nabil memenangi hadiah wang tunai RM10,000 selain kereta Nissan Latio Sedan 1.8 Auto Premium serta pakej pelancongan.
“Saya harus bayar balik kepercayaan peminat dengan memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas pertandingan itu di Petaling Jaya.
Malah untuk tidak membuatkan dia terkeluar dari landasan jenakanya, Nabil turut memberitahu sentiasa mewarnai lawaknya dengan melibatkan penceritaan yang dekat dengan diri dan sekelilingnya.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh kumpulan Cham dan XN3 dengan undian sebanyak 19 peratus dan 4 peratus. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan RM5,000 serta pakej pelancongan.
Prestasi
Kita berbangga apabila Astro mengambil inisiatif untuk mencungkil bakat baru dunia lawak tempatan dengan memperkenalkan program Raja Lawak namun objektif mahu melahirkan pelawak berkaliber kepada industri nampaknya masih belum berjaya.
Biar prestasi kurang memberansangkan namun Pengurus Rangkaian Astro Prima, Khairul Anwar Salleh menegaskan, program itu sedang melalui proses untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
“Gelanggang adalah sesuatu yang baru pada mereka dan adakalanya lawak mereka kena dan adakalanya tidak.
“Tenaga produksi sentiasa cuba membendung perkara ini (tidak konsisten) minggu ke minggu dengan memperketatkan tema.
”Antara usaha lain termasuk memberi latihan kepada peserta terhadap apa yang boleh buat orang ketawa dan sebagainya.
“Malah selepas musim pertama kita perkemaskan formatnya,” kata Khairul Anwar.
*aAA Lu PiKir LA sEndRi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan