Henti tekan Mukhriz - Pemuda Johor
KUALA LUMPUR 16 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggesa semua pihak menghentikan desakan agar Datuk Mukhriz Mahathir dikenakan tindakan disiplin atau dipecat daripada parti kerana ia akan lebih mengeruhkan lagi keadaan.
Ketuanya, Razali Ibrahim berkata, ini kerana sebarang keputusan mengenai kedudukan beliau akan diputuskan pada Mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang akan bersidang selepas pembentukan Kabinet.
Katanya, Pemuda UMNO Johor yakin perkara itu akan diputuskan secara bijaksana oleh barisan Exco Pemuda yang diterajui Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Pemuda Johor mengharapkan agar tidak ada kenyataan sama ada untuk memecat, mengambil tindakan apa saja, kerana ia tidak membantu kepada perkara yang saya nyatakan tadi.
"Kalau saya buat kenyataan menyebelahi mana-mana pihak, saya juga tidak bertanggungjawab," katanya.
Rabu lalu, Mukhriz selaku Ahli Parlimen Jerlun menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas kekalahan luar jangka banyak calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Kontroversi berhubung Mukhriz bukan pertama kali timbul, sebaliknya pada Perhimpunan Agung UMNO 2006, Exco Pemuda UMNO itu ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden, mendakwa tiada perkara baru yang disampaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Razali berpendapat, Mukhriz tidak perlu meminta maaf dalam masa terdekat kerana ia akan menghilangkan rasa hormat banyak pihak kepadanya.
Katanya, sebagai seorang pemimpin, beliau perlu mempertahankan prinsipnya dan bersedia menghadapi apa jua akibat tindakannya.
"Saya tidak fikir Mukhriz kena minta maaf sekarang sebab saluran yang telah ditetapkan ialah pada mesyuarat Exco, orang akan hilang hormat kalau dia minta maaf sekarang.
"Sebagai seorang pemimpin, beliau kena berpegang pada prinsip dan bersedia menghadapi akibatnya," katanya.
Razali turut mengakui Pemuda UMNO Johor menyayangi Mukhriz dan dalam perbincangan sebelum ini pihaknya telah dapat melihat siapa yang menjadi aset kepada Pemuda UMNO.
Bagaimanapun, katanya, apa yang membezakan seorang pemimpin itu dengan pemimpin lain ialah bagaimana mereka mengawal sesuatu keadaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan